PERHATIAN! : CABARAN PENDIDIK UNTUK MENARIK & MENGEKALKAN PERHATIAN PELAJAR

PERHATIAN! : CABARAN PENDIDIK UNTUK MENARIK & MENGEKALKAN PERHATIAN PELAJAR

Jika anda pernah meluangkan masa dengan seorang guru (ataupun anda sendiri seorang guru), maka anda pasti akan tahu bahawa cabaran terbesar untuk mengajar adalah mendapat (dan mengekalkan) perhatian pelajar. Dan definisi pelajar di sini adalah merangkumi semua usia. Di dalam dunia yang penuh gangguan dan hingar ini, perhatian setiap orang adalah sesuatu yang perlu direbut dan sangat berharga. Persaingan untuk perhatian seseorang boleh datang dari merata punca dan semuanya

Walaupun mitos yang mengatakan bahawa rentang perhatian manusia sudah berkurang kepada 8 saat sahaja adalah sesuatu yang tidak boleh diambil secara serius namun ianya memberi gambaran tentang sesuatu yang tidak jauh dari realiti. Satu kajian tahun 2019 oleh Technical University of Denmark berjaya menunjukkan bukti empirikal bahawa kecenderungan manusia untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara telah semakin berkurangan. Kesan ini bukan sahaja unik dalam penggunaan media sosial, malah juga termasuk buku, carian laman sesawang, filem, populariti dan lain lain. Kajian ini telah mengumpul dan menunjukkan bukti tentang peningkatan kadar perubahan rentang perhatian  manusia.

Tentunya perkara ini adalah satu cabaran terbesar bagi seorang pendidik di zaman ini. Bagaimanakah sesebuah sesi pelajaran boleh menjadi lebih menarik dan efektif untuk memastikan ianya mendapat perhatian semua pelajar? Dan yang lebih penting, bagaimakah perhatian itu dapat dikekalkan?

Apa yang boleh dilakukan oleh seorang pendidik adalah dengan menjadi lebih kreatif dalam pedagogi mereka. Pastikan sesi pembelajaran tidak ‘terlepas’ dari memegang perhatian semua pelajar. Antara cara yang sering dicadangkan adalah dengan mengubah jangkamasa sesuatu topik yang diajar. Contohnya menjadikan satu topik yang kebiasaannya mengambil masa 30 minit dengan memecahkannya kepada 3 sub-topik yang mengambil masa 10 minit setiap satu. Dan setiap sub-topik ini pula diselitkan dengan sesi interaksi dengan beberapa pelajar secara rawak. Cara lain adalah dengan menjadikan sesi pembelajaran sebagai satu permainan yang ada tahap dan ganjaran apabila ianya selesai. Permainan ini tidak perlulah sesuatu yang rumit, hanya sekadar memastikan partisipasi dan menguji tahap penerimaan pelajar.

Namun di sini satu persoalan boleh dibangkitkan pula, adakah perlu proses pembelajaran formal yang boleh dianggap sebagai satu usaha murni ini bersaing dengan perkara lain untuk mendapatkan perhatian seorang pelajar? Tidakkah usaha murni itu sendiri cukup untuk membolehkan seseorang pelajar itu memberikan perhatian sepenuhnya? Bukankah proses pembelajaran itu sendiri sepatutnya menjadikan seorang pelajar itu sedar mengenai kekurangannya lantas berusaha untuk memperbaiki dirinya? Di dalam dunia yang ideal, jawapan bagi semua persoalan ini memang jelas. Tetapi realitinya kita sedang hidup di dalam dunia yang serba pantas dan bergerak tanpa henti. Apa apa sahaja yang pegun pasti akan tertinggal. Ini termasuklah proses pembelajaran. Ianya perlulah berubah dan sesuai dengan persekitarannya. Di zaman ini seorang pendidik sudah tidak boleh lagi sekadar berada di hadapan kelas, memulakan sesi pengajaran dan berharap agar pelajarnya memberi perhatian penuh. Perhatian setiap pelajar itu perlu direbut dan dikekalkan. Ini bukanlah salah media sosial (mungkin sedikit) atau hiburan semata mata. Ini adalah realiti bagaimana dunia sekarang sedang berjalan.

 

Oleh:

ENCIK NAZLI SHAH CHE KAMARUZAMAN
KETUA PMO
FARADISSE HIGH SDN BHD