E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) merupakan salah satu kemudahan latihan yang disediakan secara dalam talian dan penjawat awam boleh mengikuti pembelajaran secara kendiri pada bila-bila masa dan di mana jua. EPSA boleh dicapai melalui pelbagai platform sama ada komputer peribadi, komputer riba, tablet atau pun telefon pintar melalui pautan https://www.epsa.gov.my. Kemudahan latihan ini adalah percuma kepada semua penjawat awam Malaysia.
Sebagai sebuah pusat pembelajaran sektor awam yang premier, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sentiasa berusaha melengkapkan penjawat awam dengan kemahiran dan pengetahuan terkini terutamanya dalam memantapkan intelektual, sahsiah dan kompetensi. Ini bagi memastikan penjawat awam sentiasa relevan dan berdaya saing untuk memacu organisasi ke arah pembangunan holistik dan meningkatkan produktiviti ke arah negara maju. Justeru itu, dengan adanya matlamat dan objektif yang sangat jelas, satu projek pembangunan aplikasi baharu dilaksanakan bagi tujuan menaik taraf platform aplikasi pembelajaran dalam talian sedia ada kepada sebuah platform yang dapat menyediakan pembelajaran di semua peringkat pembelajaran digital yang lebih mesra pengguna, berkesan dan fleksibel. Selari dengan perubahan ini, INTAN dapat menyediakan pembangunan keupayaan dan kebolehan modal insan yang lebih efisien dalam penyediaan hala tuju latihan dan strategi pembelajaran yang berkesan.
Sebagai menyokong usaha pemantapan latihan menerusi inisiatif digital yang semakin berkembang maju, INTAN telah mengambil peluang dari ketersediaan teknologi untuk menyediakan kemudahan latihan secara dalam talian yang lebih kompetetif bagi memenuhi keperluan teknologi dan kompetensi digital penjawat awam masa kini. Penambahbaikan dari segi aplikasi, perisian dan perkakasan telah dilaksanakan dalam memastikan ianya seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Maka dengan itu Intelligent Learning Management System (i-LMS) diperkenalkan sebagai salah satu aplikasi yang terbaik dalam meningkatkan keberkesanan mentadbir pengurusan pembelajaran melalui EPSA. i-LMS merupakan platform berasaskan web yang digunakan dalam sistem EPSA dengan menampilkan ciri-ciri baharu dan moden seperti pengintegrasian dengan teknologi Robotic Process Automation (RPA), kemudahan multi-sign in melalui media sosial dan tetapan laluan kerjaya. Melalui teknologi ini, EPSA mampu mengurus pembelajaran elektonik, menjejak hasil pembelajaran, integrasi dengan pengurusan sumber manusia dan sumber pembelajaran, pembangunan bahan-bahan pembelajaran dan kemudahan bentuk pengurusan pembelajaran dengan berkesan. Dari sudut yang lain, i-LMS memberi kemudahan kepada penjawat awam untuk melihat kursus–kursus wajib, pilihan dan kursus yang sedang diikuti, melihat kemajuan pembelajaran, memuat turun sijil, mengakses maklumat berhubung dengan tugasan yang diberikan oleh fasilitator, serta melihat paparan skor pencapaian gamifikasi dalam EPSA.
EPSA berwajah baharu bukan sahaja tertumpu kepada penambahbaikan dari segi infrastruktur iaitu peralatan dan perisian, malah ia juga melibatkan penambahbaikan dalam infostruktur. Ini dapat dilihat dengan adanya pertambahan bilangan kandungan bahan kursus dari masa ke semasa agar penjawat awam mendapat lebih banyak pilihan bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang masing-masing. Malah lebih dari itu mereka turut dapat meluaskan pengetahuan menjangkaui bidang-bidang lain juga. Selain membangunkan kandungan secara dalaman, INTAN juga melanggan dari pembekal untuk perkhidmatan kandungan yang bersesuaian. INTAN juga menggalakkan agensi-agensi lain atau Institut Latihan Awam (ILA) menyumbang kandungan pembelajaran mereka ke dalam EPSA agar penjawat awam dapat berkongsi pengetahuan mereka melalui satu platform. Sehingga kini, EPSA telah menerima kandungan kursus dari 132 agensi dan memiliki sejumlah 199 bahan kursus yang boleh dipelajari pada bila-bila masa dan di mana-mana jua. Selain itu, EPSA juga bakal menawarkan 57 modul pembelajaran di bawah inisiatif Digital Government Competency and Capability Readiness (DGCCR) bagi dua bidang utama iaitu Organisational Capabilities (OC) dan Individual Capabilities (IC), dalam usaha untuk membangunkan kemahiran dan keupayaan digital penjawat awam di semua peringkat.
EPSA sebagai platform pembelajaran profesional sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan sistem pengurusan kompetensi penjawat awam atau sistem latihan dari agensi-agensi lain sebagai salah satu usaha dalam menggalakkan perkongsian data yang cekap dan selamat. Di peringkat dalaman agensi, EPSA akan berkolaborasi dengan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia atau lebih dikenali sebgai Human Resource Management Information System (HRMIS) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai saluran penyebaran kursus bagi modul-modul HRMIS. Manakala di peringkat inter agensi, INTAN akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah seliaan Bahagian Pendidikan Guru untuk menjadikan EPSA sebagai platform pembelajaran KPM.
Menerusi EPSA berwajah baru ini dan usaha-usaha yang dilaksanakan, adalah diharap ianya akan melonjakkan lagi bilangan capaian penggunaan EPSA dan seterusnya menjadi sandaran kepada INTAN untuk mempertingkatkan lagi kualiti penyampaian pembelajaran dalam talian. EPSA selaku peneraju pembelajaran digital bagi seluruh perkhidmatan awam akan terus mengorak langkah untuk menjadi hab pembelajaran digital sektor awam mulai 2023. Selamat mengikuti pembelajaran dalam talian melalui EPSA – Learning Anytime Anywhere.
Oleh:
PUAN NOR HASIMAH BINTI CHE MAT
PERUNDING LATIHAN KANAN
Sub Program Aplikasi, Portal dan Multimedia (Unit Aplikasi Automasi Pembelajaran)
Program Pengajian Teknologi Maklumat & Pembangunan Teknologi (IMATEC)