Learning Through IR4.0 Technology merupakan salah satu komponen di dalam projek Pembangunan Kompetensi Kerajaan Digital (Digital Government Competency Development, DGCD) bermula daripada 2021-2025 yang memberi fokus kepada pembangunan kompetensi dan keupayaan digital penjawat awam dalam lima (5) teknologi IR4.0. Lima (5) teknologi yang telah dikenalpasti ialah Big Data Analytics, Blockchain, Internet of Things, Cyber Security dan Artificial Intelligence/Robotics. Objektif komponen ini ialah untuk menaiktaraf infostruktur teknologi IR4.0 selari dengan keperluan persekitaran digital yang kondusif dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penjawat awam dalam bidang IR4.0. Komponen ini turut menyumbang kepada KPI inisiatif MyDIGITAL dan inisiatif Dasar 4IR Negara (D4IRN) bagi Kluster Kerajaan. INTAN sebagai sebuah institusi pembelajaran menyambut baik kedua-dua inisiatif ini dengan mempelbagaikan latihan digital yang berteraskan teknologi IR4.0 kepada penjawat awam.
Lima (5) aktiviti Learning Through IR4.0 Technology telah dikenalpasti akan dilaksanakan sepanjang tempoh projek iaitu langganan perisian IR4.0, pembangunan modul pembelajaran (bersemuka dan dalam talian), latihan teknikal dan pensijilan, pengurusan perubahan (bengkel dan seminar) dan dokumentasi modul pembelajaran. Aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan oleh Subject Matter Expert (SME) yang dilantik oleh pihak syarikat bagi setiap teknologi IR4.0. Output daripada aktiviti-aktiviti ini menyumbang kepada kepelbagaian latihan digital sektor awam secara bersemuka dan dalam talian serta peningkatan pengetahuan dan kemahiran penjawat awam dalam teknologi IR4.0.

Aktiviti komponen Learning Through IR4.0 Technology bermula dengan langganan perisian bagi teknologi IR4.0. Perisian yang dilanggan akan digunakan bagi tujuan pembelajaran melalui latihan teknikal dan penyediaan modul pembelajaran serta pembangunan simulasi latihan. Sehingga September 2022, tiga (3) modul pembelajaran bersemuka tahap asas telah selesai dibangunkan iaitu bagi teknologi Big Data Analytics, Cyber Security dan Artificial Intelligence/Robotics merangkumi aktiviti pembangunan modul, dry run dan train of trainer (ToT). Aktiviti pembangunan modul dalam talian sedang dilaksanakan dengan pembangunan tiga (3) modul pembelajaran bagi teknologi Big Data Analytics, Cyber Security dan Artificial Intelligence/Robotics. Peningkatan pengetahuan dan kemahiran penjawat awam dalam teknologi IR4.0 telah dilaksanakan melalui empat (4) sesi latihan teknikal yang melibatkan penyertaan daripada 20 orang penjawat awam bagi setiap sesi. Latihan pensijilan kepada tenaga pengajar sedang dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan kompetensi tenaga pengajar INTAN dalam bidang teknologi IR4.0. Satu (1) sesi bengkel IR4.0 telah dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada elemen modul pembelajaran dan perbincangan trend terkini dalam teknologi IR4.0.
Bagi tahun selanjutnya (2023 hingga 2025), aktiviti-aktiviti ini akan diteruskan dengan memberikan penumpuan kepada pembangunan modul pertengahan dan lanjutan, meneruskan pembangunan modul dalam talian bagi teknologi Blockchain, Internet of Things dan Artificial Intelligence/Robotics, pembangunan simulasi latihan, pelaksanaan latihan teknikal dan latihan pensijilan, bengkel dan seminar pembudayaan IR4.0 serta dokumentasi pakej latihan bagi modul pembelajaran yang telah dilaksanakan.
Adalah diharapkan dengan pelaksanaan komponen Learning Through IR4.0 Technology dapat mencapai matlamat DGCD untuk membangunkan modal insan perkhidmatan awam yang kompeten khususnya dalam bidang IR4.0.
Oleh:
PUAN SYAHRIMI BINTI HASBULLAH
PERUNDING LATIHAN KANAN
Sub Program Latihan dan Pembelajaran Digital (Unit Sains Data)