Selaras dengan pelancaran inisiatif MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia pada 19 Februari 2021 yang lalu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mentransformasikan latihan kompetensi serta kepakaran bagi memastikan kemajuan kerjaya penjawat awam seiring dengan agenda Kerajaan Digital.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah diberi peranan sebagai pembekal latihan digital melalui pembangunan Digital Learning Centre (DLC) di bawah Peruntukan RMKe-12. Antara objektif DLC adalah menyediakan kursus digital kepada penjawat awam dan meningkatkan kompetensi digital sektor awam.
Bermula Oktober 2021, INTAN telah melaksanakan Projek Digital Government Competency Development (DGCD) dengan objektif utama membangunkan bahan pembelajaran dan pengajaran dalam talian serta bersemuka dalam memenuhi keperluan penjawat awam dan menaiktaraf infrastruktur dan infostruktur ICT pengajaran serta pembalajaran INTAN. Melalui Projek DGCD ini, INTAN telah melaksanakan Langganan Pakej Pembelajaran INTAN-Coursera (INTAN–Coursera) iaitu salah satu skop di bawah Komponen Online Content Development & Enrichment. INTAN-Coursera merupakan platform pembelajaran digital secara dalam talian yang boleh dimanfaatkan oleh penjawat awam dalam meningkatkan kemahiran dan kompetensi diri.
INTAN–Coursera terbuka kepada semua penjawat awam bagi semua skim dan perkhidmatan di mana sebanyak 2,500 lesen akan ditawarkan setiap tahun sehingga tahun 2025. INTAN–Coursera menawarkan 12 topik merangkumi 8000 kursus secara dalam talian iaitu Data Science, Business, Computer Science, Personal Development, Information Technology, Language Learning, Health, Math and Logic, Social Sciences, Physical Science and Engineering, Arts and Humanities dan DGCCR Online Learning. Pelaksanaan INTAN-Coursera bagi tahun 2022 telah bermula pada 7 April 2022 sehingga 31 Mei 2023 di mana ia boleh didaftarkan secara dalam talian melalui Laman Portal DTIMS INTAN.
Satu sesi Latihan Penggunaan Langganan Pakej Pembelajaran INTAN-Coursera telah diadakan pada 8 Mac 2022 melibatkan pengguna dan pentadbir sistem manakala Sesi Taklimat Langganan Pakej Pembelajaran INTAN-Cousera kepada warga INTAN telah diadakan pada 12 April 2022 secara dalam talian bertujuan memberi kefahaman dan maklumat lanjut berkenaan penggunaan INTAN-Coursera. Selain itu, mulai 15 April 2022 hebahan pendaftaran INTAN-Coursera telah dilaksanakan melalui postmaster INTAN, postmaster Agensi, media sosial (FB dan Instragram INTAN), FB PERJASA dan terkini dan terkini pada Portal MyGovernment (mulai Ogos 2022).
Platform Pembelajaran INTAN-Coursera akan dapat meningkatkan kerjaya penjawat awam melalui pengalaman pembelajaran transformatif yang memperkasakan kemahiran bagi mengejar empat matlamat utama pembelajaran secara dalam talian. Pertama, belajar mengikut kemampuan sendiri mengikut masa yang bersesuaian, kedua meningkatkan kemahiran secara fleksibal dengan pelbagai pilihan pembelajaran sama ada mudah alih, dalam talian atau luar talian. Ketiga, belajar daripada pengajar terkemuka dunia yang terbaik iaitu dalam pembelajaran secara dalam talian. Dan yang terakhir adalah dapat mengembangkan kemahiran berkaitan kerjaya bagi membantu meningkatkan trajektori profesional.
Pelaksanaan INTAN-Coursera memberi peluang kepada semua penjawat awam untuk meningkatkan kemahiran tanpa perlu hadir secara fizikal di INTAN. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada kewujudan pelbagai platform pembelajaran untuk penjawat awam.
Oleh:
PUAN ANISHARIAH BINTI RAMLI
PERUNDING LATIHAN KANAN.
Sub Program Latihan dan Pembelajaran Digital (SPLPD),
Program Pengajian Teknologi Maklumat & Pembangunan Teknologi (IMATEC)
MOHD YUSRI BIN JUSOH
PERUNDING LATIHAN
Sub Program Latihan dan Pembelajaran Digital (SPLPD),
Program Pengajian Teknologi Maklumat & Pembangunan Teknologi (IMATEC)