LOW-CODE MEMPERCEPATKAN PENDIGITALAN PEMBANGUNAN AUTOMASI PROSES KERJA

LOW-CODE MEMPERCEPATKAN PENDIGITALAN PEMBANGUNAN AUTOMASI PROSES KERJA

Pada 19 Februari 2021, mantan Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin telah merasmikan MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia. Oleh itu, agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam mencapai hasrat dan agenda digital negara. Proses kerja yang dilaksanakan bertahun dahulu perlu diautomasikan agar seiring dengan agenda MyDigital. Mampukah kita sebagai pendokong utama memastikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan disediakan dalam talian end-to-end solution mencapai 100%.

Dalam era serba serbi mudah dan pantas, kaedah pembangunan satu sistem aplikasi turut berevolusi bagi memenuhi kehendak dan keperluan semasa. Oleh itu Low-code development platform (Low-code) mula diperkenalkan bagi mempercepatkan dan memudahkan pembangunan satu sistem aplikasi.

Penggunaan istilah Low-code mula diperkenalkan oleh Forrester (firma kajian pasaran) pada tahun 2014 dan istilah ini mula digunakan secara meluas pada tahun 2016. Menurut Forrester, penggunaan pertama istilah Low-code adalah merujuk kepada laporan yang dikeluarkan pada tahun 2011 berkenaan penggunaan platform baharu bagi aplikasi ubah suai. Seterusnya, pada tahun 2012 telah dilancarkan Bubble sebagai No-code platform (No-code) yang berasaskan visual programming.

Ada beza ke Low-code dan No-code platform ni? Jika dilihat dari segi istilah sudah tentu ia mempunyai perbezaan di mana pembangunan sistem yang menggunakan No-code platform tidak memerlukan sebarang kod pengaturcaraan. Ianya amat sesuai digunakan oleh pengguna akhir atau pengguna bisnes. Manakala bagi Low-code masih memerlukan sedikit pengaturcaraan dan ianya sesuai digunakan oleh pengaturcara atau pembangun sistem profesional. Sudah tentu, sistem yang dibangunkan menggunakan No-code platform mempunyai kapabiliti dan fitur yang terhad berbanding Low-code platform.

Low-code platform menawarkan persekitaran pembangunan sistem yang menggunakan tools melalui antara muka grafik. Pengaturcara boleh membangunkan sistem dengan cara drag and drop tools yang disediakan. Bagi menambahbaik fungsi yang tidak disediakan oleh platform, sedikit kod pengaturcaraan perlu ditambah oleh pengaturcara. Selain itu, Low-code platform juga menawarkan penyelesaian pembangunan sistem dengan menyediakan tools pembangunan proses kerja sebelum ianya diubahsuai menjadi sistem aplikasi.

Bagi memenuhi agenda Kerajaan Digital, Low-code platform dapat membantu agensi kerajaan mempercepatkan pendigitalan proses kerja yang sebelum ini dilaksanakan secara manual. Malah proses kerja yang telah diautomasikan boleh dipermudahkan dengan Low-code platform. Bagaimanakah caranya?

6

Gambar 1: Statistik hasil kajian perbandingan pembangunan menggunakan Low Code platform vs kaedah tradisional

  1. Penggunaan Tools dan kaedah Drag and Drop

Tools yang ditawarkan oleh Low-code platform dapat meminimumkan penggunaan kod aturcara yang mana sebelum ini sistem sedia ada dibangunkan menggunakan 100% kod yang ditulis dari satu baris ke satu baris yang lain sehingga boleh dibukukan dan dijilidkan mengikut modul-modul yang terdapat pada sesebuah sistem. Namun kaedah tersebut tidak lagi relevan pada masa kini dimana pengaturcara hanya perlu drag and drop tools yang telah disediakan pada mana-mana Low-code platform. Malah masa pembangunan sistem menjadi lebih pendek dan cepat.

Selain itu, templat antara muka sistem juga telah tersedia dengan menyediakan format borang (form) dan antara muka yang boleh disesuaikan dengan sistem mengikut kehendak pengguna. Pengaturcara tidak lagi perlu menulis kod HTML (HyperText Markup Language) bagi mereka bentuk antara muka. Hanya menggunakan templat yang telah tersedia dan drag and drop kotak dan butang yang tersedia untuk membentuk borang digital.

7

Gambar 2: Contoh penggunaan tools dan kaedah drag and drop dalam Low Code platform

  1. Perubahan dan Penambahbaikan Sistem Aplikasi

Kebanyakan Low-code platform menawarkan pengurusan aliran kerja dimana pengaturcara perlu mereka bentuk aliran kerja terlebih dahulu sebelum pembangunan dilaksanakan. Pengurusan aliran kerja ini bertujuan untuk memperkemaskan proses kerja sedia ada dan seterusnya mengautomasikannya.

Oleh yang demikian, sebarang perubahan dan penambahbaikan menjadi lebih mudah berdasarkan aliran kerja yang telah ditetapkan lebih awal. Perubahan aliran kerja ini tidak akan melibatkan pengaturcaraan dan ianya boleh dilaksanakan dengan segera untuk diubahsuai mengikut keperluan semasa.

8

Gambar 3: Contoh aliran kerja yang dibangunkan dalam Low-code platform

  1. Penggunaan API (Application programming Interface) yang tersedia

Kebanyakan sistem aplikasi yang dibangunkan oleh agensi kerajaan mempunyai fungsi integrasi dengan sistem sedia ada mahupun sistem agensi lain untuk perkongsian data dan maklumat. Oleh itu, penggunaan API amat penting dalam pembangunan sistem aplikasi. Agensi yang mempunyai kemampuan kewangan akan melanggan tools yang menyediakan perkhidmatan membangun dan mengurus API.

Bagi memenuhi keperluan bisnes terkini, Low-code platform juga telah menyediakan tools untuk pembangunan dan pengurusan APInya sendiri. Pengaturcara tidak lagi perlu membangunkan API yang tidak dapat dipastikan tahap keselamatannya. Malah Gartner (firma kajian teknologi) juga meramalkan risiko keselamatan API yang dibangunkan akan bertambah buruk pada tahun 2022. Ini terbukti apabila banyak data pengguna dari agensi kerajaan yang tersebar disebabkan kelemahan yang wujud pada API yang telah dibangunkan. 

Sedikit sebanyak Low-code platform  mampu membantu mengurangkan cabaran dalam pembangunan API. Caranya adalah dengan mengurangkan masa dan kaedah pembangunan API yang ringkas bagi menghasilkan API yang selamat. Dengan cara ini, agensi kerajaan boleh meningkatkan inovasi kerana pembangunan sistem lebih cepat dan mudah berbanding membangunkan API secara tradisional yang rumit.

  1. Mengadaptasi Agile Methodology Dalam Low-code platform

Pembangunan sistem secara tradisional menggunakan kaedah waterfall membuatkan proses pembangunan sistem secara silo. Pemahaman pegawai IT yang berbeza menyebabkan sistem yang dibangunkan tidak dapat menepati keperluan sebenar pengguna.

Oleh itu, pembangunan sistem aplikasi yang menggunakan Low-code platform secara automatik akan berubah kepada agile methodology. Ciri-ciri pembangunan Low-code platform menjadikan komunikasi antara pembangun sistem dan pengguna lebih lancar di mana proses kerja yang diautomasikan dapat dilihat terus oleh pengguna dan pengguna boleh memberi maklum balas mengikut keperluan sebenar.

Low-code platform mengutamakan prinsip agile dalam pembangunan sistem iaitu, proses kerja yang telus, komunikasi berterusan serta tahap kerjasama yang tinggi antara pembangun dan pengguna serta maklum balas segera untuk sebarang perubahan. Low-code platform memastikan pembangunan sistem sentiasa responsif terhadap keperluan dan permintaan pengguna yang berkembang mengikut keperluan semasa.

  1. Kemudahan dan Ciri-ciri Low-code platform

9

Gambar 4: Ciri-ciri Low-code platform
Sumber: https://www.sketchbubble.com

Kebanyakan Low-code platform mempunyai ciri-ciri yang hampir sama. Antaranya adalah ianya boleh dikembangkan dan menyediakan kemudahan integrasi antara satu platform dengan platform yang lain. Low-code platform juga menyediakan web services yang sedia digunakan. 

Selain itu, kod yang dibangunkan juga boleh diguna semula untuk sistem aplikasi yang lain. Pembangun tidak perlu menulis kod yang sama berulang kali dan kod tersebut juga boleh dikongsikan dengan pengguna lain disamping ianya boleh ditambah baik berdasarkan keperluan semasa.

Berikut adalah sebahagian daripada kelebihan Low-code platform yang dapat membantu agensi membangunkan sistem aplikasi dengan lebih pantas dan mudah. Walau bagaimanapun, pemilihan kaedah pembangunan sistem aplikasi bergantung sejauh mana sesebuah agensi dapat menyesuaikan keperluan dengan perubahan teknologi yang sentiasa berubah dengan pantas. Ia bergantung kepada kemahuan agensi untuk berdaya saing dengan teknologi dan melatih pembangun sedia ada atau kekal dengan kaedah tradisional dan berada di takuk sedia ada.

Bagi agensi yang bersedia mengharungi arus teknologi terkini dan seiring dengan pelan digital negara, seharusnya pegawai IT agensi mengambil langkah kehadapan dengan membawa perubahan dan memberi sokongan kepada trend semasa dalam pembangunan sistem. Jika Low-code platform dapat membantu agensi dalam meningkatkan inovasi mengapa kita tidak mengambil peluang dan manfaat menggunakannya.

 

Oleh:

PUAN FAUZANAH BINTI MOHAMAD SHARIF
PERUNDING LATIHAN KANAN
Sub Program Aplikasi, Portal dan Multimedia (Unit Aplikasi Informasi Latihan)
Program Pengajian Teknologi Maklumat & Pembangunan Teknologi (IMATEC)